Berita Utama

Ubah segera teks Perlembagaan masih ‘junjung’ bahasa Inggeris

Martabatkan bahasa Melayu dalam sistem perundangan negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 27 Rejab 1443H, Selasa – Sudah sampai masa sistem perundangan negara merujuk kepada teks sahih Perlembagaan Persekutuan diubah ke dalam bahasa Melayu menggantikan bahasa Inggeris sekali gus menjamin impak besar kepada sistem kehakiman negara.

Langkah tersebut selari dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu memartabatkan bahasa Melayu dengan menggunakannya dalam setiap urusan rasmi negara.

Naib Presiden BERJASA, Abdul Samad Ashaari berkata, mungkin ramai tidak tahu ketika ini teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan masih menggunakan bahasa Inggeris walaupun Malaysia sudah mencapai kemerdekaan melebihi 60 tahun.

“Sangat memalukan, walaupun lebih 64 tahun merdeka, namun kita masih ‘menjunjung’ teks Perlembagaan Persekutuan berbahasa Inggeris dan mengenepikan teks berbahasa kebangsaan.

“Jadi tiba masanya sistem perundangan kita berubah, gantikan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu.

“Sedangkan sudah jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa rasmi digunakan dalam urusan kerajaan ialah bahasa Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegas beliau, langkah kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu perlu direalisasikan dengan penggunaan bahasa itu di mahkamah dan dalam sistem perundangan negara.

Turut senada Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya yang menegaskan, walaupun ada versi bahasa kebangsaan dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini namun ia bukanlah teks sahih yang digunakan secara rasmi di mahkamah.

Beliau menyifatkan seruan Perdana Menteri untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi termasuk di luar negara adalah usaha baik walaupun sepatutnya sudah dilaksanakan sejak sekian lama.

“Mungkin kita nampak isu ini kecil kerana setakat terjemahan bahasa tetapi tidak. Kes keislaman anak mualaf Indira Gandhi (2006) tidak memihak kepada kita itu dahulu adalah kerana teknikaliti terjemahan istilah.

“Dan kini, kes ini disebut-sebut untuk dijadikan rujukan bagi segala kes keislaman anak mualaf, termasuk yang terkini di Perlis itu.

“Bagi saya juga, pasti akan ada impak yang besar dalam dunia perundangan di Malaysia jika ini dapat direalisasikan. Contohnya, pasti penguasaan bahasa Melayu yang cemerlang bakal menjadikan kriteria untuk menjadi hakim dan peguam yang cemerlang,” katanya.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/02/26/guna-bahasa-melayu-untuk-setiap-urusan-rasmi-negara-pm/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button