Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Ujian COVID-19 bagi tiga kategori pengembara luar negara digugurkan mulai 3 Mac

Terpakai untuk pengembara masuk Malaysia melalui VTL, LITB dan OSC

KUALA LUMPUR, 27 Rejab 1443H, Selasa – Pengembara dari luar negara yang tiba di Malaysia melalui tiga program tidak perlu lagi menjalani ujian COVID-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) (kendiri dan profesional) yang ditetapkan seperti sebelum ini selepas ketibaan, bermula Khamis ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, prosedur baharu itu terpakai untuk pengembara memasuki Malaysia melalui program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat Malaysia-Singapura, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan Pusat Sehentian (OSC) untuk pelawat perniagaan jangka pendek.

Kementerian Kesihatan telah memutuskan untuk menggugurkan keperluan menjalani ujian RTK-Ag (kendiri) pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan selain daripada keperluan menjalani ujian RTK-Ag (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan bagi ketiga-tiga kategori program.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut menggugurkan keperluan menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag (profesional) bagi pengembara yang tiba di Malaysia di bawah program LITB sebelum keluar dari Pulau Langkawi.

Selain itu, Khairy berkata KKM turut menggugurkan keperluan menjalani ujian kendiri RTK-Ag bagi pengembara umum dari United Kingdom yang sebelum ini perlu dilakukan setiap hari sepanjang tempoh kuarantin wajib.

Katanya keperluan Pegawai Pengiring bagi pelawat perniagaan jangka pendek Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menggunakan kemudahan OSC untuk memasuki Malaysia turut digugurkan, namun mereka masih perlu mengikut jadual program terkawal yang diluluskan oleh Jawatankuasa OSC. 

“Walaubagaimanapun, ujian pengesanan COVID-19 yang perlu dijalani dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan di Malaysia masih dikekalkan seperti protokol sedia ada.

“Saya ingin tekankan sekali lagi bahawa prosedur baharu ini hanya terpakai ke atas pengembara yang memasuki Malaysia melalui program VTL, LITB dan OSC sahaja,” katanya.

Khairy berkata, bagi pengembara yang bukan memasuki Malaysia melalui tiga program berkenaan, prosedur  atau protokol sedia ada masih terpakai. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button