Berita Utama

1,000 anggota bomba ditempatkan di seluruh negara Julai depan

Aset baharu seperti bot penyelamat, jetski akan diagih ke balai bomba

BANGI, 28 Rejab 1443H, Rabu – Seramai 1,000 pelatih bomba dijangka tamat latihan Julai ini dan bakal ditempatkan di balai bomba seluruh negara.

Kesemua pelatih Pegawai Bomba Gred KB19 yang melapor diri pada 7 Februari lalu kini sedang mendapatkan latihan di tiga Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) iaitu di Terengganu, Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.

“Pelatih ini dijangka menamatkan Kursus Asas Kebombaan pada Julai dan proses penempatan akan dilaksanakan di balai bomba yang terlibat di seluruh negara termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Yusuf Abd Wahad (GPS-Tanjong Manis) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Yusuf mahu mendapat kepastian sama ada jumlah aset dan anggota di BBP Tanjung Manis akan ditambah kerana sering terjadi insiden bot karam, kes serangan buaya dan kebakaran hutan di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, BBP Tanjung Manis merupakan balai bomba kategori D yang mula beroperasi sejak 2018 dengan perjawatan seramai 28 anggota.

“Pada masa kini pengisian perjawatan adalah sejumlah 22 orang dan masih berbaki enam kekosongan yang hanya bersifat sementara,” katanya.

Mengenai aset tambahan untuk BBP Tanjong Manis, Ismail berkata, balai itu telah dilengkapi dengan sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Volunteer Fire Rescue Vehicle (VFRV), dua kenderaan utiliti dan sebuah bot penyelamat (aluminium).

“Buat masa ini, penyediaan jentera, kelengkapan dan peralatan bomba adalah mencukupi untuk BBP Tanjung Manis menangani sebarang kes yang membabitkan insiden kecemasan atau kebakaran termasuklah bot karam, kes serangan buaya dan kebakaran hutan,” katanya.

Ismail turut menjelaskan, Jabatan Bomba dan Penyelamat kini sedang dalam proses untuk memperolehi aset-aset yang baharu seperti bot penyelamat, jet ski, kenderaan pacuan empat roda, kenderaan angkut dan logistik serta lain-lain.

“Aset-aset baharu tersebut akan diagihkan ke balai bomba seluruh negara termasuklah BBP Tanjung Manis sekiranya keperluan adalah mendesak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button