Berita UtamaDunia

7 hari lancar perang, Russia dakwa kuasai selatan Ukraine

Datuk Bandar Kherson dedah keadaan huru-hara kerana elektrik terputus

MOSCOW, 28 Rejab 1443H, Rabu – Russia mendakwa pasukannya telah menguasai selatan Ukraine di bandar Kherson, pada hari ketujuh peperangan dua negara itu.

Perkara berkenaan diakui jurucakap Kementerian Pertahanan Russia, Igor Konashenkov yang menyifatkan bandar Kherson kini dikuasai sepenuhnya tentera Russia selepas pasukan Ukraine gagal mempertahankannya.

Beliau mendakwa, keadaan di Kherson berada dalam keadaan stabil dengan premis perniagaan dan kemudahan awam beroperasi seperti biasa, termasuk pengangkutan awam.

“Bandar Kherson tidak mengalami kekurangan bekalan makanan atau keperluan asas manakala penduduknya masih boleh melakukan aktiviti harian mereka seperti biasa.

“Pasukan tentera Russia akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan semua yang ada di Kherson terus dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kherson, Igor Nikolayev menegaskan, beliau tidak akan meninggalkan Kherson dalam apa keadaan sekali pun.

“Kherson akan kekal dalam Ukraine dan kami akan terus bertahan,” katanya.

Nikolayev mendedahkan bandar Kherson kini berdepan keadaan huru-hara apabila bekalan elektrik terputus.

Malah, pihak berkuasa kini bertungkus-lumus ‘mengutip mayat penduduk awam yang bergelimpangan atas jalan’ akibat serangan Russia.

Pihak Russia kini berusaha menawan Mariupul, tenggara negara itu yang merupakan pelabuhan penting. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button