Berita Utama

Konflik Russia-Ukraine jadi pengajaran, pertahanan negara perlu kesiapsiagaan

Ceroboh kedaulatan, tindakan Putin tidak bertanggungjawab

BANGI, 28 Rejab 1443H, Rabu – Kementerian Pertahanan digesa untuk segera mempersiapkan dan memantapkan aset pertahanan negara.

Saranan itu disuarakan Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim susulan melihat konflik ketenteraan yang semakin meruncing antara Russia dan Ukraine.

Khamis lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin mengisytiharkan perang ke atas Ukraine.

Media antarabangsa melaporkan Putin telah mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine, menyifatkan ia sebagai ‘operasi ketenteraan khas’ dan bukan bertujuan menduduki negara itu.

Lantaran itu, Ustaz Zamani menyatakan pendirian bahawa tindakan Putin adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau menegaskan bahawa mana-mana negara tidak boleh sesuka hati menceroboh kedaulatan sesebuah negara, sehingga mencederakan rakyat awam yang tidak bersalah.

“Kerajaan Malaysia sepatutnya mengutuk serangan Russia ke atas Ukraine ini seperti mana kita mengutuk pencerobohan haram Zionis Israel ke atas Palestin,” tegasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ustaz Zamani tidak menolak kemungkinan bahawa negara ini akan mengalami nasib yang sama suatu hari nanti.

Atas dasar itu, beliau menggesa kesiapsiagaan pertahanan negara dari pelbagai sudut.

“Apapun, saya ucapkan tahniah pada Datuk Seri Hishammuddin Hussein atas tambahan aset enam helikopter penyerang ringan MD530G baru-baru ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button