Berita UtamaDunia

Lagi warga Palestin meninggal angkara tentera pengganas Israel

77 kematian rakyat Palestin direkodkan di Tebing Barat tahun lepas

TEBING BARAT, 28 Rejab 1443H, Rabu – Seorang warga Palestin ditembak mati oleh rejim pengganas Israel dekat bandar Beit Fajjar, selatan bandar Bethlehem di selatan Tebing Barat.

Kementerian Kesihatan berkata, ia dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Hal Ehwal Awam bahawa Ammar Shafiq Abu Afifeh, dari kem pelarian Arroub, utara bandar Hebron, ditembak mati oleh tentera di pintu masuk Beit Fajjar.

Abu Afifeh merupakan warga Palestin yang ketiga ditembak mati oleh tentera Israel pada Selasa.

Sebelum ini, tentera negara pengganas itu menembak mati dua rakyat Palestin di kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat.

Agensi berita Palestin Wafa mengenal pasti kedua-dua mangsa sebagai Abdullah al-Hosari, 22, dan Shadi Khaled Najm, 18.

Pembunuhan itu berlaku hanya lebih seminggu selepas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, Mohammed Shehadeh, dibunuh oleh tentera Israel di bandar Al-Khader Tebing Barat.

Kumpulan hak asasi manusia Palestin dan antarabangsa telah lama mengutuk penggunaan kekerasan yang berlebihan oleh tentera Israel.

B’Tselem – sebuah kumpulan hak asasi Israel – berkata, ia telah merekodkan 77 kematian rakyat Palestin di tangan tentera Israel di Tebing Barat tahun lepas.

Lebih separuh daripada mereka yang terbunuh tidak terbabit dalam sebarang serangan, katanya. – Agensi

Pautan terdahulu;

Tentera Israel bunuh 2 warga Palestin di Tebing Barat

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button