Berita Utama

AEFI: 22 dari 45 laporan kematian tiada kaitan dos penggalak

Individu alami AEFI boleh lapor sendiri pada NPRA tanpa tunggu doktor

PUTRAJAYA, 28 Rejab 1443H, Rabu – Sebanyak 22 kematian daripada 45 laporan yang diterima Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin dos penggalak COVID-19 didapati tiada hubung kait dengan vaksin yang diterima.

Pengarah NPRA, Dr Roshayati Mohamad Sani berkata, rumusan terhadap 22 kematian itu telah dinilai Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin COVID-19 (JFK) manakala 23 laporan kematian lagi sedang dalam proses untuk dilengkapkan sebelum dibentangkan untuk penilaian jawatankuasa itu.

Beliau berkata, setakat 25 Februari, NPRA telah menerima 25,445 laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) vaksin COVID-19 dengan 93 peratus atau 23,682 kes yang dilaporkan adalah kes tidak serius manakala 1,763 laporan pula dikategorikan sebagai AEFI serius.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, NPRA menerima 1,275 laporan AEFI melibatkan dos penggalak dengan 90 kes atau 7.06 peratus laporan AEFI itu diklasifikasikan sebagai serius,” katanya dalam taklimat bersama media mengenai AEFI vaksin COVID-19 secara maya hari ini.

Dr Roshayati berkata, 94 laporan AEFI melibatkan penerima vaksin dalam golongan kanak-kanak lima hingga 11 tahun diterima setakat 25 Februari, dengan hanya dua laporan dikategorikan sebagai serius.

Ia melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang mengalami gejala asma teruk yang dirawat di hospital selama dua hari sebelum dibenarkan keluar manakala satu lagi kes melibatkan kanak-kanak lelaki 10 tahun yang mengalami paralisis muka namun semakin pulih.

“Secara keseluruhannya, trend pelaporan AEFI dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang diterima oleh NPRA tidak jauh berbeza dengan apa yang dilaporkan oleh negara rujukan regulatori yang lain,” kata Dr Roshayati.

Dalam perkembangan lain, Ketua Seksyen Farmakovigilans, Pusat Komplians dan Kawalan Kualiti NPRA, Dr Azuana Ramli berkata, individu yang mengalami AEFI vaksin COVID-19 masih boleh melaporkan sendiri kepada NPRA tanpa menunggu pengesahan doktor yang merawat.

Ia berikutan dakwaan terdapat doktor yang tidak mahu mengesahkan bahawa pesakit yang mendapatkan rawatan susulan selepas vaksin COVID-19 mengalami AEFI berkaitan.

“Biarpun doktor yang merawat tidak mengesyaki dan tidak melaporkan AEFI pesakit kepada NPRA, pesakit yang merasakan mereka terkesan akibat vaksin boleh melaporkannya menerusi saluran NPRA,” katanya.

Penerima vaksin COVID-19 yang mengalami kesan advers boleh melaporkan AEFI melalui aplikasi MySejahtera bagi kesan tersenarai dalam aplikasi itu dan secara dalam talian dengan mengisi Borang Pelaporan Kesan Sampingan Ubat Untuk Pengguna (ConSERF) menerusi laman sesawang NPRA, www.npra.gov.my.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button