Berita Utama

COVID-19: PKRC ZWT sedia terima pesakit luar Lembah Klang

Hanya 90 pesakit sedang terima rawatan setakat semalam

SERDANG, 28 Rejab 1443H, Rabu – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Zon Wilayah Tengah (PKRC ZWT) bersedia menerima pesakit luar Lembah Klang sekiranya keadaan memerlukan.

Timbalan Komander Unified Command Center, Dr Ridzuan Mohd Isa berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan PKRC ZWT untuk berada dalam keadaan bersedia sekiranya jumlah pesakit di luar Lembah Klang meningkat.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini PKRC ZWT hanya menumpukan kepada pesakit dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“KKM akan buat keputusan namun kami bersedia untuk kes luar Lembah Klang yang bersifat kluster. Jika diarah untuk terima pesakit luar Lembah Klang kami akan terima bergantung kepada kapasiti katil sedia ada.

“Tumpuan kini diberikan untuk pesakit dari Lembah Klang terlebih dulu,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Setakat semalam, hanya 90 pesakit yang sedang menerima rawatan di pusat kuarantin berkenaan.

PKRC ZWT mampu menampung 850 katil dalam satu masa dan dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut kategori pesakit.

Pusat kuarantin itu dibuka semula Jumaat lalu sebagai persediaan peningkatan kes mendadak, khususnya di Lembah Klang akibat varian Omicron.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button