Dua syarikat dibebaskan daripada pertuduhan pembalakan haram di hutan simpan
Maxland, Better Green berjaya timbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan

SANDAKAN, 28 Rejab 1443H, Rabu -Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membebaskan dua syarikat daripada pertuduhan pembalakan haram di hutan simpan di Tongod yang didakwa dilakukan dari 2016 hingga 2017.
Hakim Darmafikri Abu Adam membuat keputusan itu selepas mendapati syarikat Maxland Sdn Bhd dan Better Green Sdn Bhd berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pada 20 Januari 2020, Maxland Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Wong Shu Kiew, dan Better Green Sdn Bhd yang turut diwakili pengarahnya, Cheung Chau Seng, mengaku tidak bersalah melakukan penebangan haram 503 batang pokok di Hutan Simpan Trus Madi antara 5 September 2016 dan 19 November 2017.
Kedua-dua syarikat didakwa mengikut Seksyen 20 (2) Enakmen Hutan Sabah 1968 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM500,000 jika sabit kesalahan.
Mereka turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan penebangan haram 54 batang pokok di Kampung Lalampas, Tongod antara 5 September 2016 dan 19 November 2017 mengikut Seksyen 23 (2) Enakmen sama yang juga membawa hukuman serupa.
Pegawai pendakwa bagi Jabatan Perhutanan Sabah, Peter Maurice Lidadun memohon tempoh 14 hari untuk membincangkan keputusan mahkamah dengan Timbalan Pendakwa Raya sebelum memutuskan sama ada mahu memfailkan rayuan atau tidak.
Kedua-dua syarikat diwakili peguam Ronny Cham.
Perbicaraan kes itu bermula pada Mac 2020 dengan 11 saksi pendakwaan memberi keterangan manakala di peringkat pembelaan, yang bermula pada Januari tahun ini, seramai empat saksi memberi keterangan.