Berita Utama

ISMA sahut saranan PM martabat bahasa Melayu di pentas antarabangsa

Harap cadangan bukan sekadar retorik, perlu disusuli tindakan baru tak cakap kosong

BANGI, 28 Rejab 1443H, Rabu – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengalu-alukan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan perwakilan rasmi Malaysia di acara rasmi peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata, Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Katanya, beliau telah menggunakan bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama, ketika melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.

Menyambut baik saranan itu, Naib Presiden ISMA, Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi menyifatkan ia suatu perkara yang positif sekiranya pimpinan negara mampu dengan bangganya berucap dalam bahasa Melayu di pentas antarabangsa.

“Kebanyakan negara maju di dunia menggunakan bahasa rasmi negara mereka dalam ucapan-ucapan di pentas antarabangsa. Dan mereka kekal maju dan dihormati.

“Lihat sahaja China, Jepun, Korea, Russia, Perancis, German dan banyak lagi, kekal dengan berucap dalam bahasa kebangsaan mereka di pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun cadangan ini agak lambat memandangkan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand terlebih dahulu menggunakan bahasa kebangsaan mereka di pentas antarabangsa, Ustaz Noor Azib tetap mengharapkan cadangan Perdana Menteri ini bukan sekadar retorik.

“Perlu disusuli dengan tindakan, baru tidak bercakap kosong.

“Begitu juga di dalam negara. Semua rakyat wajib boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik tak kira kaum kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

“Hari ini kita lihat berapa ramai rakyat Malaysia terutamanya yang belajar di sekolah vernakular tak pandai berbahasa Melayu dan lebih teruk kalau membaca pun tak pandai,” katanya.

Bimbang dengan perkara itu, beliau menegaskan bahawa keadaan ini perlu dihentikan sebelum menjadi lebih parah.

“Semoga bahasa Melayu akan terus dimartabatkan menjadi bahasa ‘lingua franca’ seperti zaman kegemilangannya dahulu,” katanya.

Pautan terdahulu;

https://ismaweb.net/2022/02/28/gapena-sokong-guna-bahasa-melayu-di-acara-rasmi/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button