Berita Utama

MHO gesa kerajaan tak tangguh proses dokumentasi warga asing

KDN perlu alternatif lain bantu kumpulan 'stateless' seluruh Malaysia

BANGI, 28 Rejab 1443H, Rabu – Kerajaan digesa untuk tidak menangguhkan usaha mendokumentasikan warga asing di Sabah dan kumpulan ‘stateless’ di seluruh negara.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan mendokumentasi warga asing di Sabah kerana ia dapat menyelesaikan banyak masalah berkaitan, selain dilihat mampu menegakkan hak-hak kemanusiaan masyarakat di negeri itu.

“MHO berpendapat kita perlu memandang isu ini lebih jauh lagi demi masa yang panjang di mana kerajaan Malaysia telah kekurangan penempatan bagi warga asing dan kumpulan stateless di kem tahanan mahupun penjara di seluruh Malaysia.

“Selain itu, banyak hasil kerajaan dibelanjakan setiap tahun dalam pengurusan hal-hal berkaitan. Jadi, MHO berpendapat bahawa pemberian kad itu merupakan keperluan mendesak ketika ini untuk mendokumentasikan warga asing di Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin juga menyatakan dengan pemberian kad tersebut juga akan membolehkan kesemua pihak dan agensi mengenal pasti taraf seseorang itu di Sabah.

Justeru, di atas faktor keselamatan serta dasar kemanusiaan, MHO merayu kepada kerajaan dan negeri Sabah supaya tidak menangguhkan untuk mendokumentasikan pendatang asing tanpa izin di Sabah.

“Sejajar dengan usaha MHO yang berterusan dalam memberikan bantuan kemanusiaan termasuk khidmat guaman kepada kumpulan stateless di seluruh Malaysia,” katanya.

Hishamuddin dalam masa sama, menggesa KDN menyediakan alternatif lain dalam membantu mendokumentasikan kumpulan stateless bukan sahaja di negeri Sabah tetapi seluruh Malaysia.

Malah, MHO sendiri bersedia memberikan kerjasama dan membantu pihak kerajaan mengumpul maklumat bagi proses pendatang warga asing, selain menawarkan khidmat nasihat undang-undang sejajar di bawah Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button