Berita Utama

Nama asal Bukit Melaka beri makna besar dari sudut sejarah

Langkah positif kekal Melaka pusat perkembangan tamadun Melayu, Islam

BANGI, 28 Rejab 1443H, Rabu – Polemik cadangan penukaran nama Bukit St Paul di Bandar Hilir kini berakhir apabila tempat bersejarah itu sudah dikenali dengan nama asalnya iaitu Bukit Melaka.

Ini selepas Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sudah pun memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menamakan ianya sebagai Bukit Melaka.

Pengurus Besar PERZIM, Mohd Nasruddin Rahman berkata, ia bagi mengelak kekeliruan yang timbul khususnya dalam kalangan pelancong yang datang bersiar-siar di kawasan itu.

Menyifatkannya sebagai langkah yang sangat baik, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Mohd Noor Azib Asmangi berkata, perkembangan itu bukan sahaja membawa makna besar dari sudut sejarah, bahkan juga satu langkah positif untuk mengekalkan Melaka sebagai pusat perkembangan tamadun Melayu, Islam sebagaimana dahulu.

“Perubahan kepada Bukit St Paul sebenarnya tidak sesuai kerana Melaka bukan bandar Portugis dan Melaka juga tidak menjadikan Kristian sebagai identiti agama.

“Tahniah kepada Kerajaan Negeri Melaka yang mengembalikan nama Bukit St Paul kepada nama asalnya Bukit Melaka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pemuda ISMA yang turut terbabit dalam membuat bantahan nama Bukit St Paul ketika sambutan kempen kemerdekaan pada tahun 2020.

“Dengan kerjasama PERZIM, Kempen Kemerdekaan ISMA pada ketika itu telah membuat bantahan dan piket di Bukit Melaka dan menuntut supaya nama bukit tersebut dikembalikan kepada namanya yang asal.

“Tahniah kepada Pengurus Besar PERZIM, Tuan Mohd Nasruddin Rahman di atas usaha yang berterusan pihak muzium untuk menuntut nama Bukit Melaka sebagai nama rasmi tempat tersebut.

“Semoga nama-nama bersejarah seumpama ini akan terus kekal kepada namanya yang asal,” katanya.

Pada Ogos 2020, Pemuda ISMA DAN Belia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengadakan himpunan aman di Bukit Melaka, sekali gus melancarkan kempen ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’.

Bahkan, perjuangan menukarkan nama asal Bukit Melaka juga turut disertakan dengan penyerahan petisyen sokongan daripada ISMA Melaka kepada PERZIM – yang mendapatkan 16,388 tandatangan rakyat Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button