Berita Utama

PRN Johor: Ceramah di tempat umum tak dibenarkan

Jumlah kehadiran tak lebih 100 orang, 50 peratus kapasiti ruang

BANGI, 28 Rejab 1443H, Rabu – Sebarang penganjuran ceramah atau syarahan di premis yang terbuka mahupun tempat umum adalah tidak dibenarkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebaliknya, ceramah, syarahan atau kempen hanya dibenarkan diadakan di dalam dan di perkarangan pejabat parti serta bilik gerakan parti yang rasmi.

Perkara itu antara yang terkandung dalam pemakluman terkini Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan pilihan raya di Johor berdasarkan cadangan pindaan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Unit Komunikasi Korporat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berkata, pindaan dan tambahan kepada SOP itu turut termasuk jumlah kehadiran ceramah atau kempen yang tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang mengikut mana yang terendah.

Katanya, ini bagi memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter di antara satu sama lain dan memakai pelitup muka.

“Jumlah tersebut termasuk penganjur, urusetia, penceramah dan peserta.

“Ceramah/syarahan yang diadakan tidak boleh melebihi jam 12 tengah malam dan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

SPR berkata, pindaan dan tambahan pada SOP Pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRU Dewan Negeri Johor ke-15 berkuat kuasa serta-merta.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan COVID-19 tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

“Makluman berkenaan pindaan dan tambahan SOP Pencegahan COVID-19 boleh dirujuk portal spr.gov.my,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button