Berita Utama

PRN Johor: JKNJ keluar 21 kompaun babit pelanggaran SOP

Ceramah mega PH dikenakan 3 kompaun bernilai RM3,000

JOHOR BAHRU, 28 Rejab 1443H, Rabu – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengeluarkan 21 kompaun sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula Sabtu lepas, kata Pengarahnya, Datuk Dr Aman Rabu.

Beliau berkata, setakat 2 petang hari ini, kompaun yang dikeluarkan ke atas individu dan penganjur program yang termasuk dalam kempen PRN Johor itu disebabkan kesalahan umum tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Saya menasihati agar semuanya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Dr Aman berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan penguatkuasaan JKNJ melibatkan kompaun yang dikeluarkan sepanjang kempen PRN tersebut.

Pada 14 Februari lepas, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengarahkan Kementerian Kesihatan mengeluarkan kompaun kepada beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Bendahari Agung, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad dan Presiden MIC Tan Sri S. A Vigneswaran.

Selain itu, penganjur program tinjaun mesra Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Parlimen Pulai, Ahad lepas, turut dikompaun.

Sehari sebelum itu, calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Azrol Ab Rahani yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dikompaun RM1,000 kerana gagal membuat penjarakan fizikal iaitu melakukan laga penumbuk di Dewan Raya Bandar Putra, Kulai.

Terbaharu, tiga kompaun bernilai RM3,000 dikenakan terhadap penganjur ceramah mega pertama anjuran Pakatan Harapan, malam semalam.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button