Berita Utama

PRN Johor: PN tawar air percuma kepada rakyat sekiranya menang

‘Jika sebelum ini BN tambah hutang, PN pula janji mahu hapus hutang peneroka FELDA’

BANGI, 28 Rejab 1443H, Rabu – Perikatan Nasional (PN) menawarkan air percuma sebanyak 20meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah sekiranya gabungan tersebut memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Pemberian air percuma itu adalah antara tawaran yang terkandung dalam Ikrar PN Johor yang dilancarkan hari ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN juga akan terus berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat Johor bagi meringankan beban yang ditanggung.

Malah, beliau memberi jaminan akan membela nasib golonggan penjaja yang terkesan dengan pandemik COVID-19 menerusi penghapusan lesen dan tapak perniagaan dalam tempoh lima tahun.

“PN turut prihatin terhadap nasib masyarakat FELDA dengan merangka pelbagai usaha bagi memastikan kesejahteraan warga FELDA dapat ditingkatkan.

“PN akan pastikan projek perumahan generasi baharu FELDA yang sedang dibaik pulih disiapkan segera dan projek perumahan generasi baharu FELDA terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih, diselamatkan.

“Selain itu, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu FELDA bagi tujuan pembinaan rumah oleh generasi baharu FELDA ditetapkan pada kadar RM1 sekaki persegi,” katanya seperti dipetik portal tempatan hari ini.

Beliau berkata, pembabitan warga FELDA dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi akan dipergiatkan melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan.

Muhyiddin dalam masa sama berkata, kerajaan PN sebelum ini telah membuktikan keprihatinan terhadap masyarakat FELDA dengan menghapuskan kira RM8.3 bilion hutang peneroka FELDA.

Beliau berkata, walaupun tempoh pentadbiran PN singkat, hanya 18 bulan, tetapi banyak membela rakyat termasuk masyarakat FELDA di negara ini.

“PN melakukan perkara yang gagal dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) selama berpuluh tahun mereka memerintah.

“Jika sebelum ini, BN tambah hutang FELDA, tetapi PN pula menghapus hutang peneroka FELDA,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button