Berita Utama

Ismail Sabri nasihat Ahmad Maslan tak campur tangan tugas RoS

SUA UMNO tak patut buat kenyataan kerana siasatan belum selesai

KUALA LUMPUR, 13 Rejab 1444H, Sabtu – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya tidak campur tangan dalam tugas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Ismail merujuk kepada dakwaan Ahmad Maslan bahawa UMNO tidak melanggar perlembagaan atau perintah tetap berhubung keputusan perhimpunan agung parti untuk membenarkan dua jawatan tertinggi tidak ditandingi.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Ahmad Maslan tidak sepatutnya membuat kenyataan itu kerana RoS belum menyelesaikan siasatan berhubung perkara tersebut.

“Jangan ambil alih bidang kuasa RoS. Baru-baru ini RoS telah menjawab surat pengadu (berhubung pertikaian keputusan perhimpunan agung) berhubung perkara berkenaan.

“Saya telah dimaklumkan bahawa RoS sedang menyiasat perkara itu, jadi Ahmad tidak sepatutnya berkata demikian. Biarkan RoS menjalankan siasatan,” katanya dalam temu bual dengan New Straits Times Press.

Semalam, Ahmad berkata, tiada pelanggaran perlembagaan atau Peraturan Mesyuarat ketika Perhimpunan Agung 2022 baru-baru ini, yang melibatkan kelulusan usul tambahan tiada pertandingan dua jawatan tertinggi parti pada pemilihan akan datang.

“Semua berjalan dengan teratur. Sekitar 90 peratus perwakilan setuju dengan usul tiada pertandingan presiden dan timbalan. Sudah banyak kali dalam sejarah 77 tahun umur UMNO jawatan itu tidak dipertandingkan,” katanya dalam satu kemas kini di laman Facebooknya.

Pada 31 Januari lepas, wakil kanan UMNO bertemu dan memberi penjelasan kepada RoS berhubung kelulusan usul itu.

Mesyuarat itu diadakan susulan tindakan dua ahli UMNO, yang  membuat aduan kepada RoS untuk menyemak usul tambahan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button