Berita Utama

ADUN DAP pertikai penukaran nama Bukit Melaka

Dakwa keputusan kerajaan ubah sejarah, kelirukan pelancong

BANGI, 29 Rejab 1443H, Khamis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mempertikaikan keputusan kerajaan negeri Melaka menukar nama Bukit St Paul di Bandar Hilir kepada Bukit Melaka.

Pertikaian itu menyebabkan sesi jawab lisan Persidangan DUN Melaka hari ini menjadi panas ketika Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) mengajukan soalan tambahan.

Chau Yen mempersoalkan keputusan kerajaan negeri itu dengan alasan ia seolah-olah mengubah sejarah dan boleh mendatangkan kekeliruan kepada pelancong.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis bangkit menjawab soalan itu dan menegaskan penukaran adalah untuk mengembalikan semula nama asal bukit.

Malah, beliau berkata, tindakan itu dilihat mampu menjadi produk baharu pelancongan negeri.

“Kerana bukit itu asalnya Bukit Melaka. Tapi kita tak tukarlah pula Gereja St Paul itu jadi Gereja Melaka. Tidak, kita menghargai kesan sejarah.

“Jadi orang nak senang dahulu, dia sebut Bukit St Paul. Yang sebenarnya Gereja St Paul, bukit itu Bukit Melaka. Jadi kita memperbetulkan fakta,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Muhammad Jailani berkata, setakat hari ini, pembetulan belum lagi menimbulkan sebarang kekeliruan kerana Gereja St Paul masih kekal dengan namanya.

“Tapi, kita kena hargai sejarah, ini sejarah kita, ini warisan negara, warisan bangsa kita.

“Kalau kita perlu kembalikan, kita kembalikan,” katanya.

Semalam, Ismaweb.net melaporkan, polemik cadangan penukaran nama Bukit St Paul berakhir apabila tempat bersejarah itu sudah dikenali dengan nama asalnya iaitu Bukit Melaka.

Ini selepas Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menamakan ianya sebagai Bukit Melaka.

Pengurus Besar PERZIM, Mohd Nasruddin Rahman berkata, ia bagi mengelak timbul kekeliruan khususnya dalam kalangan pelancong yang datang bersiar-siar di kawasan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button