China nafi ada kaitan dengan serangan Russia di Ukraine
Dakwaan AS dibuat tak berasas, sengaja burukkan China

BEIJING, 29 Rejab 1443H, Khamis – Kementerian Luar China menafikan laporan bahawa terdapat penglibatan negara itu dalam serangan Russia di Ukraine.
Menegaskan ia sebagai berita palsu, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin berkata, amalan mengalihkan perhatian dan kesalahan sedemikian adalah ‘keji’.
Terdahulu, pegawai Amerika Syarikat (AS) mendakwa laporan perisikan Barat menunjukkan pegawai China mempunyai beberapa tahap pengetahuan secara langsung tentang rancangan Presiden Russia, Vladimir Putin sebelum pencerobohan Ukraine bermula minggu lalu.
“Dakwaan yang disebut dalam laporan berkaitan adalah spekulasi tanpa sebarang asas, dan bertujuan untuk menyalahkan dan memburuk-burukkan China,” kata jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu.
The New York Times pertama kali menerbitkan laporan pada awal Februari bahawa pegawai China telah meminta pegawai kanan Russia menunggu sehingga selesai Sukan Olimpik Beijing sebelum melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine.
Walaupun laporan itu mengatakan permintaan itu telah dibuat ketika Putin bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik semasa lawatannya ke Beijing pada 4 Februari, tidak jelas daripada laporan itu sama ada Putin menangani perkara itu dengan Xi secara langsung.
Selepas pertemuan Putin dan Xi, Moscow serta Beijing mengeluarkan kenyataan bersama yang mengisytiharkan sokongan mereka terhadap dasar luar negara masing-masing, sementara mereka juga bersetuju mengenai isu keselamatan yang lebih luas yang bertujuan untuk menentang pengaruh AS. – Agensi