Berita Utama

Dakwaan hutang 1MDB belum dibayar tidak berasas

'Kita sudah membayar faedah hutang kira-kira RM6.5 bilion'

KUALA LUMPUR, 29 Rejab 1443H, Khamis – Dakwaan hutang prinsipal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih belum dibayar sehingga kini adalah tidak berasas memandangkan ia hanya akan matang antara tahun 2022 hingga 2039, jelas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata sehingga akhir Februari 2022, jumlah keseluruhan hutang 1MDB bernilai kira-kira RM38.8 billion merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah.

“Kita sudah mula membayar faedah hutang 1MDB kira-kira RM6.5 bilion dan belum membayar prinsipal kerana prinsipal hutang tersebut akan matang lambat lagi,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahukan penjelasan berhubung dakwaan ahli parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa kerajaan belum membayar hutang 1MDB.

Menurut Tengku Zafrul, prinsipal hutang 1MDB merangkumi bon terbitan 1MDB Energy Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Global Investment Ltd sebanyak RM12.6 bilion dan sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note) bernilai RM5 bilion. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button