Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

Jepun sedia terima pelarian serangan Russia di Ukraine

Ini menunjukkan solidariti kami bersama rakyat Ukraine

TOKYO, 29 Rejab 1443H, Khamis – Jepun merancang untuk menerima pelarian Ukraine dalam masa terdekat, lapor Agensi Berita Kyodo memetik Perdana Menteri Fumio Kishida pada Rabu ketika Tokyo meningkatkan sokongan kemanusiaannya.

Kerajaan terlebih dahulu akan membenarkan pelarian Ukraine yang mempunyai saudara atau kenalan di Jepun. Tetapi turut membuka pintunya kepada mereka yang lain, memandangkan situasi kemanusiaan yang semakin buruk, kata Kishida.

“Jepun akan menerima pelarian dari Ukraine ke negara ketiga sebagai menunjukkan solidariti kami bersama rakyat Ukraine,” kata Kishida kepada pemberita selepas panggilan telefon dengan pemimpin Jerman dan Poland.

“Keadaan di Ukraine sangat tegang, dan pelarian semakin ramai. Kami sedang membuat persiapan untuk menghadapi situasi ini secepat mungkin,” katanya.

Jepun telah pun mengurangkan kawalan sempadan yang dilaksanakannya ketika pandemik COVID-19, namun masih mengekalkan bilangan ketibaan pengembara dari luar negara sebanyak 5,000 orang sehari, termasuk warganegaranya.

Namun, pelarian Ukraine tidak termasuk dalam had harian itu, kata Kishida.

Menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian, serangan Russia ke atas Ukraine memaksa lebih 870,000 orang meninggalkan negara Eropah Timur itu.

Poland adalah antara negara jiran yang menerima pelarian itu. Semasa perbincangan telefon mereka, Kishida memberitahu Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki mengenai rancangan Jepun.

Pemimpin dari Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun juga bersetuju untuk membantu Ukraine dan pelariannya serta memastikan Russia bertanggungjawab ke atas tindakannya.

Jepun turut berikrar memberi bantuan kemanusiaan bernilai U$100 juta kepada Ukraine melalui organisasi antarabangsa.

Tindakan agresif Russia mencetuskan bantahan antarabangsa dan mendorong beberapa negara menyatakan sokongan mereka terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine, dengan kuasa besar bersama-sama mengenakan sekatan ekonomi ke atas Russia.

Menurut media Russia, rundingan pusingan kedua Russia-Ukraine dirancang pada Rabu malam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button