Berita Utama

Pejuang sanggup kerjasama dengan parti lain jika gagal bentuk kerajaan

Sudah pertimbang beberapa calon untuk jawatan Menteri Besar

KLUANG, 29 Rejab 1443H, Khamis – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sanggup bekerjasama dengan parti lain sekiranya ia tidak dapat membentuk kerajaan negeri selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika partinya tidak mendapat majoriti mudah melalui 42 calonnya kali ini, pihaknya akan memilih parti yang memperjuangkan prinsip yang sama.

“Ada parti lain yang sebulu dengan kita, yang pegang kepada prinsip haramkan peperangan, haramkan rasuah.

“Kalau mereka pegang prinsip yang sama, kita rela kerjasama dengan mereka untuk cukupkan bilangan supaya dapat tubuhkan kerajaan.

“Ada dua tiga parti kita belum tentukan parti yang mana,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan, hari ini.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, Pejuang sudah mempertimbangkan beberapa calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya memenangi PRN nanti.

Namun, pihaknya tidak akan menamakan calon itu. 

“Kita mempunyai beberapa calon bertanding yang mampu pegang jawatan Menteri Besar. Jika kita bagi nama calon Menteri Besar sekalipun, jika calon itu kalah pada PRN Johor ini, mereka tak boleh dilantik juga.

“Sebab itu, kita tidak namakan calon Menteri Besar kita sejak awal lagi. Siapa jadi calon itu bergantung kepada mereka yang menang,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Menurut data SPR, seramai 2,597,742 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor kali ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button