Berita Utama

Pemuda ISMA tekad pastikan tempat lain guna nama penjajah ditukar

Perluas penggunaan BM dalam pembangunan bandar, perumahan baru

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 29 Rejab 1443H, Khamis – Biarpun nama Bukit St Paul kembali ditukar kepada asal iaitu Bukit Melaka, namun kempen ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’ yang dilancarkan pada tahun 2020 akan diteruskan sehingga bahasa Melayu diangkat oleh segenap rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah Kempen, Soufi Anual berkata, pihaknya akan meneruskan usaha untuk memastikan tempat-tempat lain yang masih menggunakan nama penjajah ditukar kembali kepada nama asalnya.

Justeru, beliau berkata, walaupun isu Bukit Melaka sudah berada di penghujung, usaha untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu di kebanyakan tempat bersejarah lain masih diteruskan.

“Penggunaan nama terbitan daripada bahasa Melayu wajar diangkat dan diperluaskan penggunaannya terutama dalam pembangunan bandar dan perumahan baru.

“Terasa buruk sungguh bila menyusur lebuh raya Utara-Selatan, kelihatan nama Ainsdale dan Southville terpampang di papan tanda lebuh raya tersebut.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri mahupun Persekutuan wajib letakkan syarat nama bahasa Melayu sahaja yang boleh dinaikkan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Ismaweb.net melaporkan, polemik cadangan penukaran nama Bukit St Paul berakhir apabila tempat bersejarah itu sudah dikenali dengan nama asalnya iaitu Bukit Melaka.

Ini selepas Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menamakan ianya sebagai Bukit Melaka.

Pengurus Besar PERZIM, Mohd Nasruddin Rahman berkata, ia bagi mengelak timbul kekeliruan khususnya dalam kalangan pelancong yang datang bersiar-siar di kawasan itu.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Soufi berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif berkenaan, memandangkan rakyat sepatutnya berbangga dengan sejarah negara.

“Kita sepatutnya berbangga dengan sejarah hebat kita dan membina kembali peradaban tamadun kita sendiri.

“Nama tempat yang masih menggunakan nama penjajah sepatutnya dikembalikan kepada nama asalnya daripada bahasa Melayu,” katanya yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda ISMA.

Pada Ogos 2020, Pemuda ISMA dan Belia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengadakan himpunan aman di Bukit Melaka, sekali gus melancarkan kempen ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’.

Bahkan, perjuangan menukarkan nama asal Bukit Melaka juga turut disertakan dengan penyerahan petisyen sokongan daripada ISMA Melaka kepada PERZIM – yang mendapatkan 16,388 tandatangan rakyat Malaysia.

BERITA BERKAITAN:

Nama asal Bukit Melaka beri makna besar dari sudut sejarah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button