Berita Utama

0.71 peratus kes baharu babit kategori 3 dan 5

Baki 32,236 kes terdiri daripada kategori 1 dan 2

KUALA LUMPUR, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – Sebanyak 231 kes atau 0.71 peratus daripada 32,467 kes baharu COVID-19 yang dicatatkan semalam terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki 32,236 kes atau 99.29 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini kini meningkat kepada 3,528,557 kes.

“Daripada 231 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan semalam, 60 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 115 kes telah menerima dua dos vaksin.

“Selain itu, 56 kes kategori tiga hingga lima telah menerima dos penggalak, 127 kes membabitkan individu berumur 60 tahun dan ke atas, 74 kes mempunyai komorbid serta satu kes adalah ibu mengandung,” katanya.

Beliau berkata 2,048 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam, terdiri daripada 745 kes kategori tiga hingga lima manakala 1,303 kes adalah kategori satu dan dua.

Mengenai jumlah kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 27,629 kes dilaporkan menjadikan kumulatif kes sembuh 3,197,298.

Sementara itu beliau berkata 355 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 208 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai penggunaan katil kes kritikal atau ICU COVID-19 di hospital, Dr Noor Hisham memaklumkan enam negeri menunjukkan pengisian 50 peratus atau lebih iaitu Putrajaya (83 peratus), Kelantan (60 peratus), Kuala Lumpur (58 peratus), Selangor (57 peratus), Johor (57 peratus), dan Pulau Pinang (50 peratus).

Sementara itu menurutnya nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 negara kini 1.01, dengan Sarawak mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.43 diikuti Perak (1.29), Terengganu (1.19) dan Negeri Sembilan (1.16). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button