Berita UtamaDunia

Penyelidik kenal pasti lebih 380 pusat tahanan Uyghur di Xinjiang

Berjaya petakan tembok tinggi, blok penjara termasuk kilang

SYDNEY, 8 Safar 1442H, Sabtu – Pangkalan data ‘kem pendidikan semula’ yang kejam dan terbesar di China berjaya dipetakan oleh sepasukan penyelidik Australia.

Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) melaporkan, mereka mengenal pasti lebih daripada 380 tapak di wilayah Xinjiang, yang digunakan untuk menahan ratusan ribu penduduk Uyghur di barat China.

Di antara perkara dikesan adalah rangkaian penjara yang luas dan kilang terletak di sebelah kem, kemungkinan tahanan dijadikan buruh paksa.

ASPI juga mendapati bahawa, kerajaan China telah memudahkan pemindahan besar-besaran Uyghur dan etnik minoriti lain dari wilayah barat ke kilang di seluruh negara.

“Etnik Uyghur bekerja di kilang yang berada dalam rantaian bekalan sekurang-kurangnya 83 jenama terkenal dunia dalam sektor teknologi, pakaian dan automotif termasuk Apple, BMW, Gap, Huawei, Nike, Samsung, Sony dan Volkswagen,” dakwa laporan itu.

Para penyelidik menyusun semula model tiga dimensi (3D) seperti bagaimana rupa kemudahan itu dan mengkategorikannya daripada tahap keselamatan paling rendah iaitu tahap satu hingga tertinggi iaitu tahap empat.

Untuk melakukannya, penyelidik menggunakan analisis imej satelit, catatan tender pembinaan dan laporan langsung oleh aktivis serta wartawan yang pernah berada di lapangan.

“Secara visual semuanya kelihatan serupa dengan seni bina yang berbeza tembok tinggi, pelbagai lapisan penghalang perimeter, menara pengawal, puluhan blok penjara, tidak ada perkarangan latihan luar untuk tahanan, pintu masuk jambatan tunggal untuk pengawal ke dinding perimeter,” kata laporan itu.

Tindakan keras terhadap penduduk Islam meningkat dengan ketara sejak 2017, susulan siri serangan keganasan di Wilayah Pentadbiran Khas.

Parti Komunis China pada awalnya menafikan kewujudan kem pendidikan semula yang digunakan untuk menindas etnik minoriti dan menyekat pandangan agama mereka.

Bagaimanapun, dalam menghadapi bukti yang semakin meningkat bahawa Uyghur menjadi sasaran pengawasan besar-besaran, penahanan sewenang-wenangnya, indoktrinasi paksa, perbicaraan dan penyeksaan yang tidak adil, kerajaan China terpaksa mengakui. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button