Solat Tarawih mungkin hanya 8 rakaat
Umat Islam diminta tak bertelagah isu bilangan rakaat, yang penting adalah puasa siang hari

PUTRAJAYA, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – Solat sunat Tarawih secara berjemaah berkemungkinan perlu dilaksanakan dengan bilangan hanya lapan rakaat berbanding 20 rakaat.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, perkara itu masih lagi tertakluk kepada ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Mungkin setakat lapan rakaat sahaja tetapi prosedur operasi standard (SOP) ini belum dimuktamadkan lagi dan akan diumumkan dalam masa terdekat sebelum menjelang awal Ramadan bulan depan,” katanya
Tahun lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menetapkan 20 rakaat untuk solat tersebut namun dengan bacaan ayat al-Quran yang pendek selepas surah Al-Fatihah.
Mengulas lanjut, Sirajuddin turut meminta umat Islam agar tidak pula bertelagah dalam isu bilangan rakaat solat sunat tersebut kerana bukan kesalahan didirikan lapan rakaat sahaja.
“Apa yang penting ialah berpuasa siang hari sebab itu perkara fardu pada Ramadan manakala solat Tarawih pula sunat dituntut bagi memperbanyakkan ibadah sebelah malam,” katanya.