Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Bukit Melaka penanda aras baharu tukar nama jalan berunsur penjajah

BERJASA sokong penuh penukaran, sifatkan ia antara kemerdekaan sebenar

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – BERJASA melihat kejayaan penukaran nama Bukit St Paul kepada nama asalnya, Bukit Melaka baru-baru ini sebagai penanda aras baharu dalam menggantikan nama-nama tempat lain yang berunsurkan penjajah. 

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, partinya menyokong penuh usaha mengembalikan semula nama asal Bukit Melaka dan menyifatkan ia antara makna sebenar kemerdekaan.

“Pengembalian semula kepada nama asal adalah satu tanda aras yang perlu dicontohi, semua pemimpin politik sama ada pihak kerajaan atau pembangkang mesti menyokong usaha murni yang telah dicetuskan oleh gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, BERJASA juga mengharapkan setiap nama jalan dan taman di negara ini mengangkat nama-nama bercirikan Melayu. 

“Kerajaan mesti mengangkat nama-nama Melayu ini dan jangan menyerahkan bulat-bulat kepada kehendak pihak pemaju semata-mata.

“Kita memang sudah merdeka tetapi masih tidak berani untuk mengembalikan nama asal yang sudah ditukar oleh penjajah dan masih membiarkan pihak pemaju meletakkan nama taman sesuka hati atas alasan komersial,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Zamani turut memberi amaran kepada parti rasis dan cauvinis DAP agar tidak menjadi lidah penyambung kepada penjajah dengan cuba untuk mempersoalkan pengembalian semula nama asal Bukit Melaka. 

“Bukan hanya Bukit Melaka malah semua nama yang telah ditukar oleh penjajah, DAP mesti tunjukkan ketaatan kepada negara dan mengangkat nama nama Melayu di semua tempat, taman dan jalan,” katanya.

Terdahulu, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Mohd Nasruddin Rahman berkata, pihaknya sudah pun memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menamakan ianya sebagai Bukit Melaka (Bukit St Paul).

Katanya, PERZIM telah melengkapkan kertas kerja bagi menukar kepada nama asal Bukit Melaka dan tindakan kelulusan kerajaan negeri nanti.

“Cadangan menukar nama Bukit Melaka ini sudah dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri cuma tinggal untuk mewartakan nama asalnya sahaja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button