Berita Utama

Bukit Melaka:’Gantilah nama lain asal bukan Bukit St Paul’

Putuskan segera nama baharu lebih gambarkan sejarah asal Melaka

BANGI, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – Walaupun Bukit Melaka di Bandar Hilir mungkin ditukarkan kepada nama lain, apa yang penting ia tidak boleh dikenali dengan Bukit St Paul.

Justeru, kerajaan Melaka digesa supaya segera memutuskan nama baharu yang lebih menggambarkan sejarah negeri itu bagi menggantikan Bukit St Paul.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Mohd Noor Azib Asmangi berkata, tidak kira apa nama yang bakal digantikan, namun ia mestilah melambangkan sejarah asal negeri Melaka dan tidak lagi mengguna pakai Bukit St Paul.

“Kita berharap kerajaan negeri tidak tertekan dengan desakan sesetengah pembangkang terutamanya daripada DAP yang membidas cadangan penukaran nama kepada Bukit Melaka seperti dilaporkan sebelum ini.

“Walaupun mungkin akan bertukar kepada nama lain, yang penting bukan Bukit St Paul. Kenapa pula tiba-tiba pendakyah Kristian yang mendatang ke Melaka nak dapat nama?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Bukit Melaka yang didakwa nama asal Bukit St Paul belum boleh digunakan secara rasmi kerana masih di peringkat kajian susulan terdapat juga nama lain yang disebut dalam sejarah.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat mendedahkan nama beridentiti Melayu itu yang masih di peringkat kajian terperinci.

Katanya, kerajaan negeri sedang menunggu pengesahan daripada beberapa pihak berkaitan antaranya Jabatan Warisan Negara dan Arkib Negara walaupun nama Bukit Melaka ada disebut dalam sejarah Melayu serta Hikayat Hang Tuah.

Atas sebab itu, Mohd Noor Azib menyarankan kerajaan negeri supaya segera memutuskan nama baharu yang menggambarkan sejarah dengan lebih tepat.

“Harap permudahkan urusan ini. Sebelum ini senang-senang sahaja digelar Bukit St Paul, jadi mudahkan dan cepatkan pertukaran nama kepada nama asal.

“Kita yakin penduduk tempatan akan lebih gembira dengan nama sebenar, bukan Bukit St Paul,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button