Dunia

COVID-19: 2 rangkaian runcit terbesar Hong Kong catu barang, ubat

Umum had 5 barang untuk keperluan asas, ubat demam dan selesema

HONG KONG, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – Dua daripada rangkaian runcit terbesar di Hong Kong mula mencatu beberapa barangan makanan dan ubat untuk membendung pembelian panik yang berlaku di bandar itu sejak minggu lalu, di tengah kebimbangan terhadap perintah berkurung akibat peningkatan kes COVID-19.

Rangkaian pasar raya ParknShop mengumumkan had lima barangan bagi setiap pelanggan untuk keperluan asas seperti beras, makanan dalam tin dan tisu tandas.

Manakala, farmasi Watsons menetapkan had yang sama pada ubat tahan sakit, demam dan selesema, lapor media Hong Kong.

Rabu lalu, ParknShop mengumumkan waktu operasi yang lebih pendek, dengan beberapa daripada 200 cawangannya ditutup pada jam 3 petang.

Kedua-dua ParknShop dan Watsons adalah unit konglomerat tersenarai di Hong Kong, CK Hutchison.

Pihak berkuasa Hong Kong berulang kali menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik minggu ini, selain memberi jaminan bahawa bekalan masih mencukupi.

Di tengah kekeliruan ramai mengenai pemakluman rasmi itu, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata, kerajaan tiada rancangan untuk menguat kuasa perintah berkurung sepenuhnya, namun akan melaksanakan ujian saringan wajib terhadap 7.4 juta penduduk bandar berkenaan.

Kerajaan akan mengumumkan butiran pelan itu apabila ia dimuktamadkan, katanya.

Pihak berkuasa melaporkan rekod kes harian baharu mencecah 56,827 dengan 144 kematian pada Khamis.

Lonjakan kes jangkitan harian dan kebimbangan pelaksanaan perintah berkurung telah mencetuskan perpindahan besar-besaran penduduk dari bandar, selepas pihak berkuasa berpegang pada dasar ‘sifar dinamik’ untuk membasmi wabak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button