Berita Utama

Hampir 100 jemaah redah banjir tunai solat Jumaat di Tumpat

Kawasan sekitar masih digenangi air tak halang jemaah tunai solat

TUMPAT, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – Hampir 100 jemaah meredah banjir atau menaiki bot untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Simpangan Hilir, di sini.

Imam masjid, Ismail Awang Mat, 72, berkata walaupun kawasan sekitar masjid berkenaan masih digenangi air namun ia tidak menghalang para jemaah untuk menunaikan solat Jumaat.

“Jika minggu lepas, solat Jumaat tidak dapat dilaksanakan kerana arus deras dan dibimbangi akan membahayakan keselamatan para jemaah.

“Alhamdulillah, hari ini, para jemaah dapat menyempurnakan solat Jumaat walaupun keadaan air mencecah paras paha dan sekitar 0.5 meter ketika ini di beberapa laluan masuk ke masjid,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun yang menyampaikan sumbangan daripada Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa’iz Petra Ibni Al Marhum Sultan Ismail Petra dan Raja Perempuan Kelantan.

Muhamad Zaki berkata sebanyak 100 bakul makanan disampaikan kepada penduduk di Kampung Simpangan sebagai tanda keprihatinan pihak Istana Kelantan terhadap mangsa dilanda musibah banjir. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button