Isu anak mualaf: ‘Tiada paksaan masuk agama Islam pun Nazri’
Kenapa tiada Ahli Parlimen Islam bangun betulkan naratif salah Nazri?

BANGI, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya menyelar kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mempertikaikan pengislaman tiga anak-anak Loh Siew Hong secara sepihak.
Nazri dalam ucapannya di sidang Parlimen kelmarin menyatakan tidak setuju dengan ‘penukaran agama secara paksa’ yang dilakukan oleh seorang bapa kepada anak-anaknya.
Kesal dengan kenyataan itu, Aminuddin berkata, tahap kefahaman Nazri terhadap isu ini amat menyedihkan.
“Ini seorang lagi, punyalah banyak penerangan dan bukti bahawa anak-anak ini tidak dipaksa memeluk Islam. Ahli Parlimen UMNO ini boleh pula angkat naratif ini dalam Parlimen.
“Lebih menyakitkan hati, beliau siap cakap dengan penuh sinis ‘saya sebagai muslim tidak bangga’.
“Hei, memanglah kamu tidak bangga kerana naratif yang ada dalam kamu ialah naratif palsu yang digembar-gemburkan oleh P Ramasamy dan konco-konconya. Paksaan tidak berlaku pun apabila mereka masuk Islam. Alahai. Berapa kalilah nak ulang,” sindir Aminuddin.
Beliau berkata, sepatutnya Nazri sebagai Ahli Parlimen yang beragama Islam berasa bangga dengan anak-anak mualaf ini kerana berminat mempelajari Islam dengan bersungguh-sungguh.
“Salah seorang darinya itu bercita-cita nak jadi peguam syariah dan adik lelakinya itu pula pernah menang pertandingan azan. Takkanlah itu hasil dari paksaan?
“Saya tak pastilah, apakah pengundi dan akar umbi partinya bangga dengan gelagat wakil rakyat mereka itu. Peluang dan waktu di Parlimen amatlah berharga dan bermakna.
“Apabila boleh main hentam sahaja begini ketika berbahas di Parlimen, hina betul kepercayaan rakyat yang diberikan kepadanya untuk menjadi wakil mereka di Parlimen. Apatah lagi majoriti pengundi di Padang Rengas adalah orang Islam, apakah mereka reda?,” soalnya
Lebih menyedihkan, beliau berkata, tiada Ahli Parlimen lain yang bangun bagi memperbetulkan naratif-naratif palsu yang diucapkan oleh Nazri.
“Takkanlah semua Ahli Parlimen muslim tak hadir ke Parlimen ketika itu? Saya tertanya-tanya, apakah pendirian rasmi parti yang diwakilinya itu?
“Ini isu akidah, bukan isu kritik presiden atau pimpinan. Kalau isu akidah sebegini benar-benar melanggar prinsip asas parti, ambillah tindakan disiplin sebagaimana isu-isu lain. Itu pun kalau partinya betul-betul peduli tentang hal akidah.
“Ingatlah, kita bertanggungjawab atas kepimpinan kita di akhirat kelak,” katanya.
Kelmarin, Nazri menunjukkan sokongan terhadap keputusan pihak mahkamah yang telah memberikan hak kepada ibu anak-anak mualaf itu yang beragama Hindu.
Bagaimanapun, beliau menyatakan ketidaksetujuannya terhadap apa yang didakwanya paksaan penukaran agama anak-anak tersebut.
Katanya, penganutan agama Islam seharusnya berlaku secara sukarela dan sekiranya tiada bukti yang menunjukkan kesukarelaan itu, maka ia boleh jatuh sebagai paksaan dan tiada paksaan untuk sesiapa memeluk agama Islam.