Berita Utama

MN: ‘Biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi’

Zahid Hamidi beri petunjuk jelas tentang masa depan MN

KOTA TINGGI, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi petunjuk jelas tentang masa depan Muafakat Nasional (MN) dengan menyatakan kerjasama politik antara parti itu dan PAS “biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi.”

“Bukan kita tidak mahu malah kita yang memulakan. Kalau hidung tak mancung, kenapa pipi mesti tersorong-sorong,” katanya ringkas dalam sidang media ketika meninjau Pusat Daerah Mengundi Kota Kecil Timur di sini hari ini.

Turut sama dalam tinjauan Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), adalah calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili Muszaidi Makmor dan DUN Johor Lama Norlizah Noh.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang mengatakan bahawa MN masih belum berkubur dan tidak ada mana-mana parti yang mengisytiharkan pembubarannya.

Katanya status MN akan dilihat semula selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Belum ada kubur, belum ada batu nisan dan tiada siapa mengisytiharkan Muafakat Nasional ditamatkan. Secara prinsipnya, walaupun dia tak nampak hidup tapi dia tak mati, statusnya sebagaimana ada,” kata Tuan Ibrahim di Muar semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata prestasi Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor amat mengagumkan meskipun tempoh perkhidmatan beliau singkat.

“Dari Mac 2020 hingga DUN dibubarkan, prestasi yang diperlihatkan oleh beliau amat mengagumkan. Dalam tempoh yang paling singkat, beliau telah dapat memberikan kemajuan yang sepatutnya kepada negeri Johor,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa keseluruhan janji BN di dalam manifesto Ikhtiar BN Johor akan dilaksanakan sepenuhnya.

BN, yang meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN, sebelum ini menyatakan bahawa Hasni akan terus menjadi Menteri Besar sekiranya parti itu mendapat mandat baharu dalam PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dan undi awal pada 8 Mac ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button