Dunia

Langgar gencatan senjata, Sudan kembali berdarah

Pertempuran merebak sehingga ke Omduri dan Omdurman

KHARTOUM, 2 Syawal 1444H, Ahad – Gencatan senjata selama 72 jam telah berakhir di Sudan apabila pertempuran diteruskan antara pihak Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan (CCSD) melaporkan, hospital menjadi sasaran dalam konflik itu kerana kedua-dua pihak gagal memenuhi komitmen mereka di bawah gencatan senjata.

Pertempuran tersebut merebak ke Bahri dan Omdurman, bandar bersebelahan dengan ibu kota Khartoum, di mana konflik semasa tercetus pada 15 April dan pertempuran juga berlaku di sekitar ibu pejabat tentera dan istana.

Kedua-dua pihak menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata, dengan tentera mendakwa bahawa RSF mendorong lebih banyak pasukan ke Khartoum, manakala kumpulan separa tentera berkata SAF telah menyerang pasukannya di lokasi berbeza.

Dalam pada itu, proses pemindahan diplomat asing bermula apabila kedua-dua pihak yang bertelagah menyatakan kesediaan untuk membuka lapangan terbang.

SAF dalam satu kenyataan di Facebook berkata, ketua tentera Jeneral Abdel Fattah Burhan telah menerima permintaan dari negara berbeza untuk membenarkan pemindahan warganegara masing-masing.

“Kami sedang menunggu proses untuk bermula dalam beberapa jam akan datang kerana AS, UK, Perancis, dan China akan menyediakan pesawat tentera untuk pemindahan dari Khartoum,” kata kenyataan itu.

Ia menambah bahawa misi diplomatik Saudi adalah negara pertama yang memindahkan warganya melalui Pelabuhan Sudan, dan Jordan juga akan menggunakan laluan yang sama.

Pertempuran berterusan selama lebih seminggu antara SAF dan RSF, dengan lebih 300 orang awam terbunuh dan lebih 200 yang lain cedera, menurut laporan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).-Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button