Berita Utama

MTEM gesa tangguh dulu pinda Akta 342

Minta KKM perhalusi semula melalui sesi libat urus dengan NGO

BANGI, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan dahulu pindaan Akta 342 sehingga ia diperhalusi semula.

Pengerusi MTEM, Abdul Halim Husin berkata, pertubuhan itu secara dasarnya menyokong pelbagai inisiatif KKM, termasuklah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) atau lebih dikenali sebagai PICK-B untuk membendung pertambahan kes jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, pindaan yang ingin dibuat mungkin keterlaluan dan perlu diperhalusi semula dengan baik berikutan beberapa faktor iaitu kuasa Ketua Pengarah Kesihatan serta kadar denda yang dikenakan.

“Kuasa Ketua Pengarah akan menjadi terlalu besar dan membuka ruang penyalahgunaan kuasa pada masa hadapan yang memaksa pengasingan dibuat berdasarkan syak tanpa bukti yang jelas, dan tanpa masa yang ditetapkan, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang telah dimansuhkan.

“Denda sebanyak RM100,000 untuk individu dan RM2 juta untuk organisasi juga agak melampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, MTEM menyokong pendirian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di dalam ucapan majlis Memorandum Persefahaman antara PPIM bersama Huazong dalam Membantah Pindaan Akta 342 di Wisma Huazong, baru-baru ini.

“COVID-19 akan kekal dan kita perlu berfikir, bergerak, bekerja dan berniaga dengan pemahaman keadaan yang mengurangkan kebebasan ini tidak akan berpanjangan.

“Malah negara luar sudah pun mula mengurangkan atau membatalkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19.

“Langkah seperti ini akan memberi motivasi dan mesej pada semua rakyat khususnya komuniti ekonomi Bumiputera untuk terus fokus memajukan diri dan keluarga pada tahun ini, sepanjang era pasca pandemik,” katanya.

Justeru, MTEM berharap KKM akan cuba melakukan sesi libat urus dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan aktivis rakyat sebelum pindaan ini diangkat ke Parlimen.

“Pindaan yang dibuat mestilah menepati hasrat dan kehendak pakar-pakar kesihatan tanpa menafikan juga kepentingan rakyat termasuk hak-hak mereka termaktub dalam Perlembagaan.

“Oleh itu, kita memohon Kementerian Kesihatan menangguh dahulu pindaan Akta 342, dan hendaklah diperhalusi semula apa yang perlu dipinda setelah sesi libat urus yang lebih terperinci dilakukan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button