Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pengerusi PEMBELA dipanggil IPD Sentul beri keterangan

5 individu lagi bakal dipanggil atas dakwaan langgar SOP

KUALA LUMPUR, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya mengesahkan telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini bagi membantu siasatan berhubung himpunan solidariti di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau bersama wakil peguam dari Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhammad Hariz Yusof hadir memberikan keterangan selama satu jam, atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan COVID-19.

“Petang tadi saya dipanggil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur berkenaan isu akidah anak-anak mualaf yang ingin dimurtadkan oleh puak ekstremis yang didukung politikus tertentu.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa saya dipanggil di atas laporan polis yang dibuat oleh pihak polis sendiri atas dakwaan melanggar SOP.

“Jika ‘didapati bersalah’, saya akan didenda tetapi tidak pasti berapa ringgit,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net, sebentar tadi.

Aminuddin memberitahu, beliau dilayan baik oleh pegawai penyiasatan (IO) yang bertugas sepanjang keberadaannya di IPD Sentul.

“Saya dimaklumkan ini adalah prosedur biasa jika ada yang membuat laporan polis. Dijangka ada lagi lima orang akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis selepas ini.

“Bagaimanapun, alhamdulillah saya tidak lama di dalam IPD tadi, hanya sekitar satu jam sahaja,” katanya.

Serentak itu, beliau meminta rakyat Malaysia untuk terus mendoakannya dan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk terus diberikan kekuatan meneruskan perjuangan membela agama serta mempertahankan akidah.

“Saya anggap ini hanya dugaan-dugaan kecil sahaja kerana pastinya perjuangan menegakkan agama Allah tidak dibentangkan karpet merah,” katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan membuka siasatan terhadap beberapa NGO Islam, parti politik termasuk individu yang melakukan protes di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, perkara itu disiasat mengikut peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah dalam Kawasan Tempatan Dijangkiti) 2021 kerana berkumpul dalam jumlah besar dan melanggar SOP.

Selain PEMBELA, wakil daripada UMMAH, BERJASA, Putra dan Perkasa termasuk penceramah kontroversi, Zamri Vinoth dilihat hadir serta memberikan ucapan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button