Dunia

Ukraine dakwa 9,166 askar Russia terbunuh sejak perang

227 orang awam terkorban, 525 cedera sejak awal konflik

KYIV, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – Ukraine hari ini mendakwa bahawa sejumlah 9,166 anggota tentera Russia telah terbunuh sejak permulaan perang di antara dua negara itu, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kakitangan Am Ukraine mendakwa, sejak awal perang, tenteranya telah memusnahkan 33 pesawat, 37 helikopter, 251 kereta kebal, 939 kenderaan perisai, 105 sistem artileri dan dua bot laju ringan milik Russia.

Dakwanya, tentera Russia juga kehilangan 50 sistem pelancar roket berganda, 404 kenderaan, 60 kenderaan bahan api, 18 sistem peperangan anti-pesawat dan tiga pesawat udara tanpa pemandu, menurut kenyataan itu.

Peperangan Moscow terhadap Ukraine yang bermula pada 24 Februari, telah menimbulkan kemarahan antarabangsa dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom antara lain melaksanakan sekatan kewangan yang ketat ke atas Russia.

Menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 227 orang awam telah terbunuh dan 525 cedera di Ukraine sejak permulaan perang.

Pihak berkuasa Ukraine bagaimanapun meletakkan angka kematian melebihi 2,000.

Sehingga kini, lebih sejuta orang telah melarikan diri dari Ukraine ke negara jiran, kata Agensi Pelarian PBB. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button