Berita Utama

Ukraine hargai Malaysia sokong resolusi PBB: Duta Besar

Resolusi diterima majoriti 193 anggota Perhimpunan Agung PBB

KUALA LUMPUR, 1 Syaaban 1443H, Jumaat – Ukraine menzahirkan ucapan terima kasih kepada Malaysia kerana memberikan sokongan dan undian memihak kepadanya pada Sidang Khas Kecemasan Ke-11 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menerima resolusi “Keganasan Terhadap Ukraine” pada Rabu.

“Sokongan kerajaan Malaysia kepada resolusi PBB adalah penting bagi kami,” kata Duta Besar Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo semasa segmen krisis harian Bernama TV “The Brief”, yang dihoskan oleh Jessy Chahal pada Jumaat.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Khamis berkata “meskipun Malaysia tidak bersetuju sepenuhnya dengan kesemua kandungan resolusi itu, ia menyatakan sokongan dan membuat undian ke atas resolusi berkenaan atas prinsip negara yang menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah sesebuah negara amat penting kepada Malaysia.”

Resolusi itu yang diterima oleh majoriti 193 anggota Perhimpunan Agung PBB, menerima 141 undian berpihak, 5 membantah dan 35 berkecuali.

Nechytaylo turut mengucapkan terima kasih kepada setiap rakyat Malaysia kerana menyokong rakyat Ukraine melalui derma amal yang diuruskan di bawah kedutaan untuk membantu usaha bantuan kemanusiaan di Ukraine, sambil menambah bahawa jumlah dana yang dikumpul adalah “mengagumkan” dan memberi jaminan bahawa wang itu akan disalurkan kepada rakyat yang memerlukan di tanah airnya.

Duta itu berkata beliau bimbang kesan konflik Ukraine-Rusia akan menjejaskan ekonomi, perdagangan dan keselamatan di seluruh dunia.

Beliau juga berkata, konflik itu menyebabkan hampir 100,000 rakyat Ukraine di luar negara, kebanyakannya lelaki kembali ke Ukraine untuk mempertahankan tanah air mereka. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button