Berita Utama

Johor negeri paling terkesan akibat penutupan sempadan: Muhyiddin

Kira-kira 300,000 penduduk Johor ulang-alik ke Singapura hilang pendapatan akibat penutupan sempadan

JOHOR BAHRU, 2 Syaaban 1443H, Sabtu – Johor merupakan negeri yang paling terkesan akibat langkah kerajaan menutup sempadannya, menjejaskan kelangsungan hidup penduduk rakyat negeri itu yang berulang-alik bekerja di republik jiran itu sebelum ini.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kira-kira 300,000 penduduk Johor yang berulang-alik ke Singapura hilang punca pendapatan, akibat langkah penutupan sempadan itu.

“Saya tidak tahu apa terjadi dengan mereka sekarang. Adakah mereka berhadapan cabaran besar untuk meneruskan hidup dan meletakkan makanan ke atas meja mereka.

“Ini merupakan satu masalah yang perlu kita tangani,” kata bekas perdana menteri itu dalam Majlis Sesi Dialog Menteri-Menteri Ekonomi bersama Pengerusi MPN, hari ini.

Menurut Muhyiddin lagi, pembukaan sempadan akan membawa kemasukan lebih dari 28 juta pelancong asing ke negara ini, dan membolehkan negara meraih lebih dari RM80 bilion pendapatan dari sektor berdaya maju itu.

Terdahulu, MPN mencadangkan sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac tanpa keperluan kuarantin wajib.

Namun, Kementerian Kesihatan dilaporkan masih dalam proses akhir untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan negara, sebelum mendapat persetujuan dari Jemaah Menteri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button