Berita Utama

PAS, Bersatu setuju sokong Shaarani jadi MB Perak

3 parti turut capai kata sepakat mengenai pelantikan dalam kerajaan negeri

BANGI, 23 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Kemelut pelantikan Menteri Besar Perak berakhir selepas PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad menyandang jawatan tersebut.

Perkara itu diputuskan selepas perbincangan diadakan di antara Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Perbincangan turut disertai Setiausaha Agung ketiga-tiga parti berkenaan iaitu Tan Sri Annuar Musa, Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga parti bersetuju untuk mencadangkan Shaarani sebagai Menteri Besar yang baharu untuk diperkenankan oleh Sultan Perak, selain mencapai kata sepakat mengenai pelantikan lain dalam kerajan negeri.

“Perbincangan hari ini juga telah mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri.

“Ketiga-tiga parti turut bersepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam kerajaan Perikatan Nasional di negeri Perak dan juga di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lalu, setelah gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehari sebelum itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button