Berita Utama

UMNO kini sudah ‘lumpuh’ dan perlu direhatkan: Hadi Awang

Pengundi boleh nilai parti mana serius perangi rasuah, salah guna kuasa

BANGI, 2 Syaaban 1443H, Sabtu – PAS menyifatkan UMNO kini sudah ‘lumpuh’ dan rakyat Johor perlu menolak parti berkenaan sebaliknya memilih Perikatan Nasional (PN) bagi menjamin kerajaan negeri terus berada dalam keadaan makmur selepas 12 Mac ini.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu direhatkan berikutan ditimpa pelbagai penyakit disebabkan terlalu lama memerintah negara.

“Perubahan perlu dilakukan melalui kertas undi dan bukan dengan protes jalanan sebagai memenuhi proses demokrasi untuk memilih sesebuah kerajaan.

“PN adalah pilihan kepada rakyat Johor kerana menawarkan ikrar yang terbaik dengan slogan ‘Demi Bangsa Johor’, manakala Pakatan Harapan (PH) pula selalu mungkir janji.

“Kerana terlalu lama memerintah, berlakulah isu-isu seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN seperti mana diketahui umum hari ini,” kata seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Abdul Hadi berkata, UMNO kini ibarat individu yang berusia 60 tahun dan telah lemah serta perlu ditukar.

“UMNO sudah memerintah 60 tahun. Mengikut adatnya kalau manusia 60 tahun sudah tua, sudah lemah, mengalami kelemahan, maka berlakulah kelemahan-kelemahan, berlaku rasuah, salah laku, penyelewengan dan macam-macam,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Justeru, katanya rakyat perlu memberi kepercayaan kepada PN bermula pada PRN Johor ini.

Tambah Abdul Hadi, rakyat Johor juga perlu menghukum BN dan UMNO pada PRN Johor dengan tidak mengundi calon-calon gabungan itu sebagai pengajaran disebabkan kerakusan dan ketamakan mereka.

Kata beliau, mengundi bukan sesuatu yang boleh buat seperti mainan hanya kerana upah semata-mata.

“Mengundi bukan boleh main-main, bukan kerana mendapat upah RM50 atau RM100 dalam masa dua minggu tetapi mengundi untuk tempoh lima tahun sekali yang dibenarkan dalam demokrasi.

“Pengundi boleh menilai parti mana yang benar-benar serius memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan hanya memilih calon-calon bebas daripada gejala tersebut,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button