Berita UtamaDunia

Arab Saudi kecam serangan bom di masjid Pakistan

UAE tolak keganasan jejas keselamatan, kestabilan

RIYADH, 2 Syaaban 1443H, Sabtu – Arab Saudi mengecam sekeras-kerasnya serangan bom yang menyasarkan sebuah masjid di bandar Peshawar, barat laut Pakistan pada Jumaat.

Kementerian Luar menekankan posisi kerajaan menentang ‘tindakan menyasarkan tempat ibadat, keganasan ke atas orang awam dan mengorbankan nyawa mangsa yang tidak bersalah’.

Menurutnya, Riyadh menyokong Pakistan menentang semua bentuk keganasan dan ekstremisme.

Serangan pengebom berani mati itu – yang didakwa dilakukan Daesh – mengorbankan sekurang-kurangnya 56 orang dan mencederakan 194 yang lain di sebuah masjid ketika solat Jumaat.

Serangan tersebut disifatkan paling mengerikan di negara itu sejak 2018.

Kementerian merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa bahkan kerajaan serta rakyat Pakistan mendoakan mereka yang cedera cepat sembuh.

Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan tersebut dan menegaskan ia menolak semua bentuk keganasan yang bertujuan untuk menjejaskan keselamatan dan kestabilan serta tidak konsisten dengan nilai atau prinsip kemanusiaan.

Kuwait mengesahkan solidaritinya dengan Pakistan dan sokongan terhadap semua langkah yang diambil untuk mengekalkan keselamatan dan kestabilannya, sementara Mesir serta Jordan turut mengeluarkan kenyataan sama mengutuk serangan berkenaan.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkata, ia menyokong kerajaan Pakistan dalam berhadapan keganasan. – Agensi

Pautan terdahulu;

30 maut dalam kejadian letupan bom dekat masjid di Pakistan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button