Berita Utama

Ego dan tamak ‘butakan’ UMNO untuk terima MN

Sepatutnya UMNO insaf, kenang semula tragedi 9 Mei 2018

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 2 Syaaban 1443H, Sabtu – Perasaan ego dan tamak telah ‘membutakan’ mata UMNO untuk melihat Muafakat Nasional (MN) tidak lagi diperlukan buat masa ini.

Pada hakikatnya, tiada satu parti politik Melayu berada dalam keadaan kukuh dan mampu berdiri dengan sendiri tanpa sebarang jalinan kerjasama.

Sehubungan itu, penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain percaya, MN kembali releven selepas semua parti politik Melayu sedar akan kelemahan bahawa mereka tidak mampu bergerak secara solo.

“Sepatutnya UMNO insaf dan kenang semula tragedi 9 Mei 2018 yang berdepan kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Tidak salah sekiranya UMNO sebagai parti yang lama perlu bertindak sebagai Abang Long dan mengalah dengan adik-adik, namun sebaliknya berlaku apabila UMNO kini tamak dan merasakan dia mampu menjadi dominan seperti sebelum ini.

“Tidak mustahil selepas ini MN kembali relevan apabila masing-masing menyedari hakikatnya mereka tidak kukuh dan kuat apabila bersendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi petunjuk jelas tentang masa depan MN dengan menyatakan kerjasama politik antara parti itu dan PAS ‘biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi’.

Mengulas lanjut, Prof Ahmad Atory menjelaskan, situasi yang berlaku kini di mana tiada lagi parti politik dominan bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di negara luar.

Atas sebab itu, katanya, kerjasama politik perlu dijalankan dalam mewujudkan sebuah kerajaan yang kukuh.

“Sepatutnya UMNO membuka mata dan tidak terlalu angkuh dan yakin dengan keutuhan partinya sebaliknya melihat dalam skop lebih luas dalam perkembangan politik semasa di peringkat yang lebih besar,” katanya.

Beliau yakin sekiranya UMNO bertegas untuk bersendirian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), parti tersebut tetap tidak akan menjadi dominan seperti sebelum ini.

“Semua ini disebabkan pengundi kini dihidangkan dengan pelbagai pilihan parti terutama parti-parti baharu ditubuhkan dan situasi ini jauh beza seperti dahulu yang terhad dengan tiga pilihan utama iaitu UMNO, PAS dan DAP,” tegas beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button