Berita Utama

SPRM Sabah tahan 19 kontraktor

Kemukakan penyata bank palsu bernilai RM49 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri

KOTA KINABALU, 2 Syaaban 1443H, Sabtu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seramai 19  kontraktor yang dipercayai mengemukakan penyata bank palsu bernilai kira-kira RM49 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri.

Menurut sumber, kesemua suspek berumur lingkungan 24 hingga 53 tahun ditahan di Pejabat SPRM Sabah pada kira-kira 10 pagi.

Sumber itu memaklumkan penyata bank terbabit dikemukakan sebagai dorongan untuk menyertai tender beberapa sekolah di Sabah.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy  mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek, yang terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan wanita, akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata, pada 2020, SPRM Sabah telah menahan 39 kontraktor yang dipercayai mempunyai modus operandi sama melibatkan nilai kontrak berjumlah lebih RM80 juta.

Katanya, daripada tangkapan itu, sebanyak 132 pertuduhan berjaya dilaksanakan di Mahkamah Khas Rasuah di Sabah pada tahun lepas.

Karunanithy berkata, SPRM memandang serius kesalahan itu dan beberapa aktiviti pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan antaranya mengadakan sesi penerangan kepada kontraktor seperti seminar integriti dengan kerjasama Kementerian Kewangan Negeri Sabah pada 25 Ogos 2020.

Turut diadakan Forum Anti Rasuah: Peranan Kontraktor Dalam Menangani Rasuah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Tawau dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan pada 27 Mac tahun lepas.

Beliau turut mengingatkan golongan kontraktor supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu bagi memasuki mana-mana kontrak kerajaan kerana ia merupakan satu kesalahan yang serius.

Karunanithy juga menyarankan agar Persatuan-Persatuan Kontraktor mengambil langkah proaktif dengan mengingatkan ahli mereka supaya jangan sesekali terlibat dengan kesalahan berkaitan.

“SPRM Sabah akan sentiasa bekerjasama dengan persatuan kontraktor bagi mendidik serta meningkatkan kesedaran golongan tersebut supaya mereka tidak terlibat dengan mana-mana salah laku khususnya kesalahan berkaitan rasuah,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button