Berita Utama

VTL: Laluan baharu antara Malaysia-Thailand-Kemboja bermula 15 Mac

Pengembara yang divaksin sepenuhnya dibenar lalui laluan tanpa perlu jalani kuarantin

PUTRAJAYA, 2 Syaaban 1443H, Sabtu – Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) baharu ke Thailand dan Kemboja akan mula beroperasi mulai 15 Mac sebagai sebahagian daripada usaha bersama ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengembara yang telah divaksin sepenuhnya akan dibenarkan melalui laluan itu, tanpa perlu menjalani kuarantin ketika ketibaan.

“Laluan VTL baharu ini dijangka dapat membantu memulihkan semula jaringan ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” kata Wee dalam kenyataan di sini hari ini.

Wee berkata, bagi Thailand, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga enam penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Bangkok dan sehingga empat penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phuket.

Bagi negara Kemboja, beliau berkata, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga dua (2) penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phnom Penh.

Wee berkata, laluan baharu untuk kedua-dua negara boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada permintaan pasaran.

Laluan VTL ini akan dikendalikan oleh semua syarikat penerbangan yang ditetapkan di bawah inisiatif VTL.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang berkaitan akan dikeluarkan oleh agensi masing-masing dalam masa terdekat dan pengembara diingatkan supaya mematuhi protokol kesihatan secara bertanggungjawab untuk menikmati kemudahan VTL itu.

Wee berkata, kerajaan akan meneruskan perbincangan dengan semua negara jiran ASEAN mengenai pembukaan semula laluan tambahan yang selamat pada masa hadapan mengikut situasi semasa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button