Berita Utama

Khairuddin tegur pemimpin PN terbabit majlis tarian seksi di Johor

Gesa permohonan rasmi dibuat kepada rakyat

BANGI, 3 Syaaban 1443H, Ahad – Tatkala rakyat berdepan gelombang COVID-19 yang masih tidak reda, pemimpin politik pula sibuk ‘dihidangkan’ tarian oleh penari wanita berpakaian mencolok mata.

Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan beberapa wanita berpakaian seksi dan menari di hadapan pemimpin politik tertinggi Perikatan Nasional (PN) ketika Majlis Makan Malam dan Persembahan Tarian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Johor Bahru.

Mereka itu termasuk Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Kesal dengan perkara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, memang tidak selayaknya majlis tari-menari ala bogel menjadi hidangan kepada pimpinan politik muslim walaupun penganjurnya adalah bukan Islam.

Apatah lagi, ia juga bercanggah dengan nilai ketimuran dan masyarakat Malaysia, tegasnya.

“Di saat rakyat berhadapan dengan musibah dan di saat rakyat diajak untuk bermunajat memohon keampunan kepada Allah agar dilepaskan daripada musibah COVID-19 apa yang berlaku mengguris sedikit perasaan rakyat,” katanya menerusi kenyataan dimuatnaik di Facebook, hari ini.

Susulan itu, Khairuddin menggesa pihak yang terbabit dalam majlis makan malam itu tampil membuat permohonan maaf rasmi kepada rakyat.

Ini kerana, katanya, perkara itu juga menjejaskan nama rakan kerjasama politik di saat kempen pilihan raya sedang hangat.

“Pahit tetapi teguran perlu dibuat agar masyarakat dapat menilai prinsip Perikatan Nasional yang jelas berkaitan Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button