Berita Utama

Nama Bukit Melaka perlu dikekalkan: PEMBELA

‘Janganlah jadi bangsa tidak bermaruah, angkat nama penjajah yang hina kita’

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 3 Syaaban 1443H, Ahad – Polemik penukaran nama Bukit St Paul kepada bukit Melaka di Bandar Hilir tidak sepatutnya menjadi isu.

Seharusnya, nama Bukit Melaka dikekalkan bersesuaian dengan sejarah kegemilangan negeri berkenaan, demikian kata Ketua Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris.

“Apakah sejarah St Paul ini jauh lebih hebat daripada sejarah gemilang bukit ini ketika bersama kerajaan sebelum tahun 1511 iaitu kerajaan Kesultanan Melaka yang telah menapak sejak 1262.

“Mengapa harus kita mengekalkan identiti penjajah sedangkan kehebatan sejarah kita sendiri dipadam oleh penjajah apabila mereka merampasnya,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan mengapa harus bangga dengan sejarah penjajah apabila negara lain tidak menghargai dan berusaha memadamkannya.

“Rata-rata rakyat Malaysia bukannya berbangsa Portugis atau Belanda, majoriti rakyat negeri Melaka terdiri dari bangsa Melayu, Cina, India dan sebilangan kecil Serani dan yang lainnya,” katanya.

Lebih menghairankan, tegas beliau, apabila yang mahu mengekalkan nama Bukit St Paul ini adalah mereka yang datuk neneknya pernah dijajah dan dihalau keluar dari negara asal serta diperlakukan seperti hamba dengan gaji murah.

“Mana hilangnya maruah diri apabila bangga mengekalkan nama bangsa yang suatu ketika menghina dan memandang rendah bangsa Asia; Melayu, Cina dan India.

“Janganlah jadi bangsa tidak bermaruah mengangkat nama bangsa yang menghina diri kita.

“Sebenarnya Barat tidak pernah menghormati bangsa Asia ketika mereka berada di era kegemilangan,” tegas beliau.

Pada masa sama, beliau turut menggesa supaya individu yang mengecam penukaran nama tersebut supaya ‘cermin diri’ siapa kita suatu masa dahulu di mata orang Barat ini.

Katanya, hanya mereka yang tiada jati diri sahaja masih terhegeh-hegeh mengharapkan santunan dari Barat.

Sebelum ini, media melaporkan Bukit Melaka yang didakwa nama asal Bukit St Paul belum boleh digunakan secara rasmi kerana masih di peringkat kajian susulan terdapat juga nama lain yang disebut dalam sejarah.

 

Pautan terdahulu;

Bukit Melaka:’Gantilah nama lain asal bukan Bukit St Paul’

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button