iGuru sambut baik usaha KPM tangani isu beg berat
Kemudahan lokar untuk 10,622 kelas secara berfasa mulai 2022

BANGI, 3 Syaaban 1443H, Ahad – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan (KPM) menangani isu beg berat dialami murid sekolah rendah.
Sebelum ini, isu beg sekolah yang berat kembali menjadi bualan hangat selepas ada laporan mengenai murid mengalami masalah tulang belakang akibat rutin menggalas beban beg sekolah setiap hari.
Bagaimanapun, isu berkenaan seolah-olah hampir menemui jalan penyelesaian apabila KPM memaklumkan akan menyediakan kemudahan lokar secara berfasa mulai tahun ini di 10,662 kelas di sekolah rendah dua sesi di seluruh negara.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, bagi fasa pertama, kemudahan lokar itu akan disediakan bagi sekolah rendah dua sesi di mana ia akan dimanfaatkan seramai 323,000 murid Tahap 1 iaitu tahun 1, tahun 2 dan tahun 3.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM37.3 juta.
“Bagi fasa dua pula, kemudahan lokar bagi murid Tahap 2 di sekolah rendah dua sesi iaitu tahun 4, tahun 5 dan tahun 6 pula akan disediakan pada tahun 2023,” katanya.
Difahamkan, penyediaan lokar ini adalah pendekatan baharu yang tidak pernah dilaksanakan KPM selama ini.
Berikutan itu, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan KPM dalam menangani isu berkenaan.
“Alhamdulillah, akhirnya pihak KPM mengambil tindakan menyediakan lokar bagi mengatasi isu beg berat.
“Terima kasih kepada pihak KPM yang mendengar suara hati warga guru, pakar pendidikan, kesatuan, NGO, ibu bapa demi masa depan pendidikan anak bangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, pihak iGuru akan terus bersuara bagi memastikan pendidikan berkualiti dimartabatkan dan diperkasakan.