Berita Utama

Imigresen sedia untuk pembukaan semula sempadan

Jangka peningkatan pelancong asing masuk ke Malaysia

JOHOR BAHRU, 3 Syaaban 1443H, Ahad – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah bersedia untuk pembukaan semula sempadan negara, terutama dalam menerima kemasukan pelancong asing, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, antara pintu masuk antarabangsa utama untuk tujuan itu adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Bangunan Sultan Iskandar, di Johor.

“Pada 5 Mac (semalam), semua autogate (sistem laluan automatik) telah diaktifkan semula dan pegawai di pintu masuk antarabangsa yang sebelum ini dihantar ke depot-depot sementara yang dibuka sepanjang tempoh pandemik, dipanggil semula,” katanya kepada pemberita semasa operasi besar-besaran bersama JIM Johor, lewat malam semalam.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan pelancong asing memasuki negara dan akan mengetatkan kawalan kemasukan menggunakan pas lawatan sosial, bagi memastikan tidak berlaku salah guna serta masalah tinggal lebih tempoh.

“Mereka (pelancong) harus mengemukakan bukti bahawa mereka mempunyai tempat tinggal di Malaysia, wang sara diri yang mencukupi, dan hanya untuk melancong dengan mempunyai jadual perjalanan,” katanya.

Operasi malam semalam melibatkan anggota dari Ibu Pejabat dan JIM Johor, yang membuat serbuan ke atas tiga premis di sekitar Johor Bahru.

Dalam serbuan yang dijalankan ke atas sebuah kilang di Taman Perindustrian Senai, 185 orang pekerja asing diperiksa dan 64 warganegara India yang didaftarkan dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) ditahan, kerana bekerja dalam sektor yang tidak dibenarkan.

“Dasar kerajaan adalah tidak membenarkan warganegara India bekerja di kilang dan mereka hanya boleh bekerja di sektor tertentu. Siasatan awal mendapati, kesemua pekerja India yang ditahan didaftarkan dalam Program RTK pada April lepas, dan disyaki kilang terbabit menggunakan perkhidmatan ejen untuk mendaftarkan pekerja berkenaan,” katanya.

Menurutnya seramai 16 pekerja dari Nepal, Myanmar (tiga) dan Bangladesh (dua) turut ditahan, kerana tidak mempunyai dokumen yang sah.

Selain itu beliau memaklumkan dalam operasi yang sama, 14 warganegara Thailand serta masing-masing seorang dari Laos dan Myanmar turut ditahan, hasil serbuan ke atas dua pusat spa yang menawarkan khidmat pelacuran.

Katanya, kesemua tahanan dibawa ke lokap JIM dan majikan terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button