Berita Utama

Malaysia bincang kuota, SOP haji dengan Arab Saudi

Kerajaan harap kuota jemaah kekal atau lebih banyak

KUANTAN, 3 Syaaban 1443H, Ahad – Semua isu berkaitan ibadah haji termasuk prosedur operasi standard (SOP), kuota dan syarat ditetapkan bagi jemaah Malaysia akan dibincangkan bersama kerajaan Arab Saudi kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, beliau akan ke Arab Saudi pada 18 Mac ini dan semua butiran lanjut mengenai ibadat haji akan dimaklumkan selepas itu.

“Saya baru menerima surat jemputan minggu lepas dan akan ke sana nanti, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi (Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah) telah menjemput semua negara yang menghantar jemaah haji untuk berbincang.

“Kami berharap supaya kuota jemaah dikekalkan atau lebih banyak, dan sejurus kembali kami akan uar-uarkan mengenai perkara berkaitan haji secepat mungkin,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangaan berkaitan haji tahun ini.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Fikri di sini hari ini yang menyaksikan sembilan pelajar telah menerima sijil penghargaan masing-masing selepas berjaya menghafaz 30 juz al-Quran.

Sementara itu, Idris mengingatkan ibu bapa atau penjaga pelajar pusat tahfiz yang belum mendaftarkan anak mereka vaksin COVID-19 untuk segera berbuat demikian sebagai langkah perlindungan daripada terkena jangkitan teruk virus itu.

“Bila mereka di pusat tahfiz mereka bergaul sesama sendiri, justeru penting untuk pelajar dapatkan vaksin untuk melindungi antara satu sama lain,” katanya.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button