Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

PICKids: Vaksin CoronaVac untuk kanak-kanak bermula esok

Ditawarkan kepada kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin Comirnaty atas sebab kesihatan

BANGI, 3 Syaaban 1443H, Ahad – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan vaksin CoronaVac terhadap kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bermula esok, 7 Mac.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan memaklumkan vaksin kedua bagi program PICKids itu diluluskan secara bersyarat oleh Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah yang ke-370, 3 Mac lalu.

“Terkini, Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah yang ke 370 pada 3 Mac yang lalu telah memberi kelulusan bersyarat penggunaan CoronaVac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd, China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (Malaysia), untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun.

“Ini menjadikan CoronaVac sebagai vaksin kedua yang diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun,” katanya, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, pemberian vaksin CoronaVac itu ditawarkan kepada kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin Comirnaty atas sebab kesihatan.

Malah, ibu-bapa juga diberi pilihan sama ada ingin mendapatkan suntikan vaksin CoronaVac ataupun Corminaty dari Pfizer.

“Sehubungan dengan itu, kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin Comirnaty atas sebab kesihatan akan ditawarkan vaksin CoronaVac oleh petugas kesihatan.

“Selain itu, ibu-bapa juga diberi pilihan untuk memberikan vaksin CoronaVac kepada anak mereka sekiranya mereka tidak bersetuju untuk menggunakan vaksin Comirnaty,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, vaksin CoronaVac itu hanya boleh diberi kepada kanak-kanak yang mencapai usia 5 tahun pada tarikh lahir.

“Bagi mendapatkan status vaksinasi lengkap, dua dos vaksin CoronaVac dengan selang masa 4 minggu perlu diberikan kepada kanak- kanak berumur 5-11 tahun.

“Mulai 7 Mac 2022, Kementerian Kesihatan akan mula menawarkan vaksin CoronaVac di Pusat Pemberian Vaksin yang terpilih,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ibu-bapa disaran untuk menyemak senarai nama serta waktu operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menawarkan vaksin CoronaVac secara walk-in di laman web Kementerian Kesihatan dan PHCorp yang telah diumumkan sebelum ini.

Ibu-bapa yang ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut, ujarnya boleh berhubung dengan petugas kesihatan.

“Penawaran vaksin CoronaVac di PPV yang dikendalikan oleh KKM dan PHCorp di bawah PICKids adalah percuma.

“Namun terdapat juga klinik dan hospital swasta yang menawarkan vaksin CoronaVac kepada kanak-kanak 5 hingga 11 tahun dengan bayaran,” jelasnya lagi.

Berdasarkan data dikeluarkan dalam COVIDNOW sehingga 5 Mac, seramai 123,053 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah telah dijangkiti COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button