Berita Utama

Sanggupkah gadaikan nyawa rakyat hanya untuk PRK Batu Sapi?

Kerajaan, pembangkang digesa cari jalan penyelesaian demi rakyat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 16 Rabiulawal 1442H, Isnin – “Apakah kerajaan sanggup menggadaikan nyawa rakyat semata-mata untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi? 

“Tidak cukupkah pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tempoh hari. 

“Adakah kita mahu melihat gelombang pandemik COVID-19 yang ketiga, keempat dan seterusnya? 

Demikian antara persoalan dikemukakan Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) susulan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PRK Batu Sapi tetap perlu diteruskan pada 5 Disember atas kehendak Perlembagaan Persekutuan. 

Bimbang dengan penularan COVID-19, Ketua Wanita BERJASA, Azizah Che Awang berkata,  dalam situasi pandemik dan keadaan ekonomi yang mencengkam, kerajaan wajib mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terlebih dahulu. 

Ini kerana, kuasa ada di tangan mereka bagi menggerakkan seluruh jentera kerajaan mengikut arahan yang diberi, katanya. 

“Sepatutnya pihak kerajaan dan pembangkang bermuafakat dan berusaha mengambil tanggungjawab bersama mencari jalan keluar terbaik untuk rakyat dengan jujur dan berintegriti tanpa menuding jari ke arah satu sama lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Menyentuh peruntukan Oerlembagaan, Azizah berkata, umum mengetahui bahawa suatu kekosongan di kawasan Parlimen perlu diisi dalam tempoh 60 hari selepas pemakluman rasmi YDP Dewan Rakyat. 

Namun, beliau mempersoalkan jika terdapat jalan penyelesaian untuk meminda Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika ianya boleh dipinda dengan syarat mendapat sokongan majoriti 2/3 Dewan Rakyat, maka lakukanlah dengan hati terbuka dan bersungguh-sungguh agar rakyat tenang dan nasib mereka terbela. 

“Sudah pasti rakyat akan berterima kasih jika para pemimpin mereka dilihat tidak tamakkan kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Azizah berkata, Wanita BERJASA amat bersetuju jika PRK Batu Sapi ditangguhkan selaras dengan titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar ahli politik memberi fokus kepada kemaslahatan rakyat dan keharmonian negara. 

“Jangan sampai suhu kemarahan rakyat meledak dan reset politik watan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” tegasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh PRK Parlimen, Batu Sapi, Sabah.

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Liew Vui Keong daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada 2 Oktober lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button